APA ITU BACAAN TAHLIL ?
BERTAHLIL merupakan satu perbuatan bacaan yang dilakukan untuk dikirimkan kepada seseorang yang meninggal dunia atau roh mayat. Ia merupakan satu tradisi tetap yang diamalkan di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Lazimnya, bacaan yang diucapkan semasa bertahlil ialah sedikit daripada ayat-ayat al-Qur'an yang tertentu, kalimah La Ilaha Illa Allah atau Subhanaallah atau lain-lain dengan niat bacaan-bacaan tersebut dapat dihadiahkan atau dikirimkan kepada orang yang meninggal dunia atau roh mayat di kalangan orang Islam. Tahlil merupakan ibadah yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan di Malaysia. Di samping itu tahlil juga merupakan satu majlis untuk mengeratkan siratulrahim kerana selalunya ianya meliubatkan kenduri dan dihadiri oleh sekumpulan kenalan. Tahlil juga merupakan sebuah tradisi yang memiliki dimensi ketuhanan (hablun minallah) yang mampu memberikan kesiraman rohani, ketenangan, kesejukan hati dan peningkatan keimanan, sekaligus juga memiliki dimensi sosial (hablum minannas) yang mampu menumbuhkan rasa persaudaraan sesama umat Islam.
Ada juga dikalangan umat Islam menganggap amalan ini sebagai "bid`ah", "haram", "karut", "menyalahi sunnah", Kenapa tidak perkara-perkara yang boleh dikategorikan sebagai khilafiyyah seperti tahlil ini dibiarkan sahaja dan diterima dengan berlapang dada, tanpa perlu dikritik dan dicemoh, apatah lagi dibid`ah haramkan. Tahlil adalah persoalan khilafiyah sehingga seharusnya tidak menjadi penghalang kepada perpaduan umat Islam terutama untuk menegakkan Ukhuwwah Islamiyah.Wajar pihak-pihak yang suka menimbulkan perkara-perkara khilafiyyah merenungi dan berlapang dada dengan isu-isu khilafiyyah, apatah lagi terhadap amalan-amalan yang telah menjadi amalan majoriti umat zaman-berzaman.
|